FAQ
- Apakah peranan utama Unit Audit Dalam (UAD) Universiti Sains Malaysia (USM)?
Unit Audit Dalam USM berperanan sebagai badan bebas dan objektif yang bertanggungjawab menilai kecekapan sistem kawalan dalaman, pengurusan risiko dan tadbir urus organisasi secara menyeluruh.
- Apakah jenis-jenis audit yang dilaksanakan oleh UAD USM?
Jenis audit merangkumi audit kewangan, audit pematuhan, audit operasi, audit teknologi maklumat, audit projek, audit aset serta semakan khas berdasarkan keperluan pengurusan universiti.
- Bagaimanakah skop sesuatu pengauditan ditentukan?
Skop ditentukan melalui penilaian risiko tahunan, hasil semakan terdahulu, aduan atau permintaan rasmi pengurusan tertinggi dan keperluan pematuhan kepada pihak berkepentingan luar seperti agensi kawal selia.
- Apakah objektif utama pelaksanaan audit dalaman di USM?
Tujuan audit adalah untuk memberikan nilai tambah melalui cadangan penambahbaikan terhadap proses, memastikan pematuhan kepada dasar dan prosedur, serta mengurangkan risiko ketidakpatuhan, penyelewengan dan pembaziran sumber.
- Apakah kelebihan audit dalaman kepada entiti yang diaudit?
Audit membantu mengenal pasti kelemahan kawalan dalaman, meningkatkan kecekapan operasi, dan memelihara integriti sistem pengurusan. Ia juga menyumbang kepada budaya tadbir urus korporat yang kukuh.
- Siapakah yang boleh menjadi subjek pengauditan di USM?
Semua Pusat Tanggungjawab (PTJ), entiti anak syarikat, pusat tanggungan khas, dan mana-mana unit yang menguruskan dana awam, projek pembangunan, penyelidikan dan perolehan.
- Adakah pihak pengurusan akan dimaklumkan sebelum audit bermula?
Ya. Satu taklimat rasmi “Entrance Conference” akan diadakan untuk memaklumkan objektif, skop, jangka masa dan keperluan dokumentasi sebelum audit bermula.
- Berapa lama tempoh pelaksanaan sesuatu audit?
Tempoh pelaksanaan bergantung kepada skop dan kerumitan operasi. Kebiasaannya, ia mengambil masa antara 2 hingga 8 minggu termasuk semakan lapangan, penyediaan laporan dan sesi perbincangan hasil penemuan.
- Apakah tindakan yang perlu diambil oleh PTJ selepas menerima laporan audit?
PTJ perlu menyediakan pelan tindakan pembetulan (Corrective Action Plan) terhadap penemuan audit, lengkap dengan tempoh masa pelaksanaan dan pegawai bertanggungjawab.
- Apakah itu “Exit Conference”?
Ia merupakan sesi penutup antara auditor dan pihak auditi bagi membentangkan penemuan utama, membincangkan pelan tindakan dan mendapatkan maklum balas sebelum laporan dimuktamadkan.
- Siapakah yang menerima salinan Laporan Akhir Audit?
Laporan akhir yang dibentangkan kepada Jawatankuasa Audit Universiti akan diedarkan kepada Dekan / Pengarah , Pengurusan Tertinggi dan mana-mana pihak berkepentingan yang berkaitan berdasarkan sensitiviti dan klasifikasi maklumat.
- Apakah jaminan terhadap kerahsiaan maklumat audit?
Semua data dan maklumat diperoleh semasa audit adalah tertakluk kepada polisi kerahsiaan dan dilindungi di bawah kod etika profesional auditor serta dasar keselamatan data universiti.
- Apakah beza antara audit berkala dan semakan khas?
Audit berkala dijadualkan secara tahunan, manakala semakan khas dijalankan apabila terdapat permintaan khusus, risiko luar biasa atau keperluan segera daripada pengurusan Universiti.
- Bolehkah PTJ membuat permintaan untuk diaudit?
Boleh. Pihak pengurusan PTJ boleh mengemukakan permohonan audit secara rasmi kepada Ketua Audit Dalam bagi tujuan penilaian bebas terhadap aspek tertentu operasi mereka. Walaubagaimanapun, permohonan PTJ untuk keperluan audit hanya sah dan diketahui selepas Rancangan Audit Tahunan diluluskan oleh Jawatankuasa Audit Universiti.
- Bagaimanakah kaedah komunikasi hasil audit dilakukan?
Segala hasil audit akan dibentangkan secara bertulis dan lisan kepada auditi dan pengurusan melalui mesyuarat rasmi. Komunikasi dijalankan secara profesional, beretika dan konstruktif.
- Adakah tindakan susulan dilakukan selepas audit?
Ya. Tindakan susulan akan dilaksanakan dalam tempoh 3 hingga 6 bulan selepas laporan akhir dikeluarkan bagi memastikan pematuhan terhadap pelan tindakan pembetulan.
- Apakah peranan Jawatankuasa Audit Universiti?
Jawatankuasa Audit Universiti bertanggungjawab menyelia fungsi audit dalaman, menerima laporan audit strategik, dan menasihati Lembaga Gabenor Universiti dalam aspek kawalan dan pematuhan.
- Adakah semua PTJ akan diaudit setiap tahun?
Tidak semestinya. PTJ dipilih berdasarkan penilaian risiko. Unit berisiko tinggi atau yang menguruskan dana besar akan diberi keutamaan audit.
- Bolehkah laporan audit digunakan sebagai dokumen pemantauan dalaman?
Ya. Laporan audit boleh dijadikan rujukan penting dalam pelaksanaan penambahbaikan dalaman, pemantauan pengurusan risiko dan penyediaan laporan kepada agensi luar.
- Siapakah yang melaksanakan audit di UAD USM?
Audit dilaksanakan oleh juruaudit profesional terlatih yang mematuhi Piawaian Audit Dalaman Antarabangsa (IIA), etika profesional serta dasar dan peraturan USM.
- Bagaimanakah PTJ boleh bersedia untuk audit?
Pastikan semua dokumen kewangan, perolehan, inventori dan prosedur operasi dikemas kini dan mematuhi dasar universiti. PTJ juga digalakkan melantik pegawai penyelaras audit.
- Bagaimanakah PTJ boleh hubungi Unit Audit Dalam?
Boleh hubungi melalui:
- Emel:
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. - Telefon: 04-6535260
- Alamat pejabat: Unit Audit Dalam, Jabatan Canselori, Bangunan C15, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang.