Ceramah Agama "Persediaan Sebelum Ramadhan"
16 Mei 2018 - Satu Program Ceramah telah diadakan di Unit Audit Dalam pada 16 Mei 2018 bersamaan hari Rabu pada pukul 10.00 pagi – sehingga 11.15 pagi bertempat di Bilik Mesyuarat Unit Audit Dalam. Ceramah ini telah disampaikan oleh penceramah Ustaz Mohd Razin Rosely yang dijemput khas daripada Pusat Islam, USM. Tajuk yang disampaikan adalah “Persediaan-persediaan Sebelum Ramadhan”. Seramai 15 staf Unit Audit Dalam telah mengikuti ceramah ini. Program ceramah ini telah dianjurkan oleh Kelab Staf Audit Dalam (KESAD).
Dalam ceramah yang disampaikan terdapat banyak motivasi dan tip-tip untuk menghadapi persediaan sebelum Ramadhan yang telah diberikan oleh penceramah berkenaan. Antaranya ialah :
Taubat yang benar (Istighfar, meninggalkan maksiat).
Sentiasa berdoa Allahumma Ballighna Ramadhan.
Perbanyakkan puasa di bulan Sya’ban (Isnin-Khamis, 15-16-17).
Membaca Al-Quran (meletakkan matlamat satu juz sehari misalnya).
Mujahadah untuk bangun malam (beberapa kali seminggu).
Berzikir setiap masa, Al-Mathurat pagi dan petang (penggunaan tasbih sangat membantu).
Mendengar ceramah-ceramah tentang Ramadhan.
Membuat persediaan bersama seluruh ahli keluarga untuk menyambut Ramadhan terutama dari aspek iman dan ilmu.
Membuka lembaran amalan baru yang jauh lebih baik.
Menjadikan hari-hari dalam bulan ini, lebih baik dari hari-hari biasa.
Sentiasa memakmurkan rumah Allah, pada setiap solat fardhu dan iktikaf.
Membersihkan puasa dari perkara yang merosakkannya seperti mengumpat.
Sentiasa berlapang dada.
Menghadirkan niat untuk amal soleh di bulan puasa.
Merealisasikan matlamat ‘Bersungguh-sungguh melawan nafsu’.
Menahan diri dari berlebihan dalam perkara harus (makan, pakaian, tidur).
Menjaga lidah dari berkata keji, mengumpat, dan mencaci.
Menahan syahwat dari perkara yang haram.
Membuat semakan amalan di bulan Ramadhan tentang segala yang dibincangkan di atas.
Perkara-perkara ini mungkin nampak biasa tetapi bila dikupaskan oleh penceramah ia menjadi amat menarik. Selain itu juga, terdapat banyak cerita yang disampaikan untuk dijadikan pedoman dan panduan dalam membuat persediaan sebelum Ramadhan. Semoga program seperti ini dapat dilaksanakan secara berterusan bagi meningkatkan persediaan ilmu kita dalam menghadapi Ramadhan dengan lebih baik dan seterusnya menjadikan kita semua hamba-hamba ALLAH yang bertaqwa.
Setelah selesai program ceramah agama, sesi pemberian cenderahati diberikan kepada Ustaz Mohd Razin Rosely sebagai tanda penghargaan daripada staf Unit Audit Dalam.
Teks: Nurkusma Wati
Gambar: Nur Khaleedah