Skip to main content

Unit Audit Dalam  |  Kampus Induk

Audit Dalam USM Anjur Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan Wakalah Bersama MAINPP & ZPP

zakat

 

PULAU PINANG, 6 Mac 2025 – Unit Audit Dalam Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif menganjurkan satu mesyuarat bersama pasukan audit dari Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Zakat Pulau Pinang (ZPP) bagi membincangkan penyelarasan tindakan hasil Pengauditan Pematuhan Pengurusan Wakalah USM yang diuruskan oleh Pusat Islam USM.

Mesyuarat yang berlangsung pada Khamis itu dihadiri oleh empat wakil dari MAINPP dan ZPP, termasuk Encik Muhammad Safwan Bin Zakaria, Juruaudit Dalam MAINPP, serta Puan Nur Amirah Adilah Zulkifli, Juruaudit Dalam ZPP.

Sepanjang sesi perbincangan, beberapa perkara yang sebelum ini kurang jelas telah diperincikan dan difahami dengan lebih baik oleh semua pihak. Antara isu yang diketengahkan ialah perbezaan format baucer bayaran yang digunakan oleh USM berbanding format yang biasa diamalkan oleh jabatan dan agensi kerajaan lain.

Mesyuarat ini berjaya mencapai objektif utama untuk memperkukuh kerjasama antara Pusat Islam USM, MAINPP, dan ZPP. Hasilnya, beberapa isu tertangguh berjaya diselesaikan menerusi sesi perbincangan yang konstruktif.

Sebagai tanda penghargaan dan ukhwah antara juruaudit Unit Audit Dalam USM, Pusat Islam, MAINPP, dan ZPP, sesi bergambar turut diadakan pada akhir mesyuarat.

Teks dan Gambar : Afizal Radzi